Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia,
Terlebih dahulu ingin saya sampaikan salam takzim daripada pihak Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Dr. Sha’ari bin Mohd Nooh kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Beliau memohon maaf kerana tidak dapat hadir sendiri ke majlis ini berikutan terdapatnya urusan lain yang amat penting untuk diselesaikan.
Sehubungan itu, bagi mewakili Jabatan Pelancongan Johor dan Kerajaan Negeri Johor, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Penganjur, Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Selatan (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Kementerian Pelancongan Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) kerana berjaya melaksanakan Seminar Pembangunan Modal Insan Sektor Hospitaliti dan Pelancongan di Iskandar yang telah dihadiri oleh sejumlah agensi dan pelbagai pihak pemain industri pelancongan di dalam Negeri Johor.
Saya juga berasa sangat gembira kerana turut dijemput sama bagi memberikan sepatah dua kata di dalam seminar yang amat bermakna bagi industri pelancongan di Negeri Johor ini.
Sektor Pelancongan baru-baru ini, akhirnya telah dikenalpasti menjadi antara penyumbang sektor ekonomi terbesar kepada ekonomi negara dan negeri Johor. Sumbangan industri ini akhirnya telah dikenalpasti sebagai salah satu sektor ekonomi terpenting negara dan telah disenaraikan di dalam Pelan Transformasi Ekonomi Malaysia.
Penanda-penanda aras utama yang berkaitan dengan pelancongan telah diwujudkan dengan tujuan memastikan kemampanan industri ini yang dijangka akan semakin pesat membangun dan menyumbangkan pelbagai faedah kepada negara.
Industri pelancongan di Negeri Johor bagi tahun 2010 dimulakan dengan perubahan utama struktur organisasi Pelancongan Negeri Johor di peringkat Kementerian Pelancongan Malaysia dan Kerajaan Negeri.
Berikutan pemansuhan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Johor dan digantikan dengan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Johor, maka terdapat keperluan untuk Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Pelancongan Negeri Johor untuk melihat semula kedudukan sektor pelancongan dan mengemaskinikan perancangannya terutama sekali di dalam memperkukuhkan peranan Kerajaan di dalam dua wilayah ekonomi utama iaitu Wilayah Iskandar dan Wilayah ECER.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Kerajaan Negeri Johor sentiasa peka akan kepentingan rakyat dan mahu memastikan rakyat Negeri Johor mendapat keuntungan dan faedah daripada sektor pelancongan. Oleh yang demikian, bagi memastikan perkara ini dicapai, Jabatan Pelancongan Negeri Johor telah melengkapkan Pelan Perancangan Strategik Pelancongan 2011 – 2015 yang akan menjadi panduan pembangunan, pemasaran dan perkhidmatan di dalam industri pelancongan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.
Dokumen “Perancangan Strategik Pelancongan: Johor, Permata Asia” atau “Tourism Strategic Planning: Johor, the Jewel of Asia” ini mengandungi empat fokus strategik operasi bagi Pelancongan Johor bagi tahun 2011 sehingga 2015. Hasil kajian jelas membuktikan bahawa Johor mempunyai banyak tarikan pelancongan yang amat menarik seperti kesan sejarah kesultanannya, kesenian, kebudayaan, alam sekitar, pusat membeli-belah dan kedudukan strategik sebagai tanah paling selatan benua Asia.
Ada pihak berpendapat nama Johor berasal dari perkataan Jauhar dalam bahasa Arab dan Sanskrit yang bermasuk permata. Oleh itu adalah menjadi harapan Jabatan Pelancongan Johor untuk menjadikan Negeri Johor sebagai destinasi pelancongan terhebat di Asia dan dikenali sebagai permata Asia.
Untuk menjadikan wawasan ini suatu realiti maka perancangan yang rapi lagi holistik perlu dilakukan kerana bidang pelancongan mempunyai banyak cabaran dan persaingan dari dalam dan luar negara. Bagi tujuan itu beberapa siri sesi bengkel perancangan strategik telah dilakukan sepanjang tahun 2010 untuk merangka perancangan operasi yang komprehensif.
Apabila melihat kegawatan industri pelancongan maka Jabatan Pelancongan Negeri Johor mengambil initiatif untuk menggunakan kaedah Strategi Lawatan Biru sebagai asas kepada perancangannya. Hasil sesi perbengkelan dan perbincangan dengan beberapa pihak kemudian telah didokumenkan dalam buku ini.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Strategi 3 di bawah Pelan Operasi Strategik Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Khidmat Berpaksikan Pelanggan (Customer Centric Service) telah mengenalpasti bahawa industri ini merupakan industri yang amat berkaitan dengan ‘sentuhan manusia’ (human touch).
Produk pelancongan utama yang dijual oleh kesemua pemain industri pelancongan sebenarnya adalah berbentuk ‘pengalaman’ (experiences) yang seterusnya akan menzahirkan pulangan di dalam bentuk ekonomi dan sosial.
Perasaan Amat Baik (Feels Good Experience) akan memastikan pelanggan atau pelancong ini berpuas hati dan seterusnya meningkatkan peluang akan pembelian berulang kali bagi produk-produk yang ditawarkan oleh kita.
Sehubungan itu, adalah amat penting agar human touch ini dijaga dengan rapi dan teliti supaya pulangan ekonominya akan sentiasa berulang dan memberikan manafaat kepada Rakyat Negeri Johor.
Sentuhan Manusia Terbaik inilah merupakan matlamat utama yang seharusnya menjadi tumpuan kepada semua pemain industri pelancongan. Kepuasan hati pelancong terhadap perkhidmatan yag diberikan, layanan baik terhadap permasalahan, sambutan yang mesra, professional di dalam mengendalikan satu-satu isu merupakan antara kaedah utama yang akan dinilai bagi melihat Sentuhan Manusia ini.
Dan, tanpa proses-proses seperti pengenalpastian dan pembangunan sumber manusia terlatih dan berpengalaman di dalam industri ini, mana-mana destinasi tidak akan mampu bertahan dan seterusnya tenggelam.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Pelbagai objektif di dalam strategi 3 telah digariskan dan akan menjadi KPI bagi industri pelancongan Negeri Johor.
Usaha-usaha mempertingkatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman sumber manusia di dalam industri pelancongan akan terus dipertingkatkan dan diperkasakan bagi memastikan sumber manusia yang mencukupi bagi industri ini.
Pelbagai siri latihan dan kursus, pendedahan dan seminar akan dilaksanakan dengan tumpuan terhadap pengwujudan pengkalan data sumber manusia dan perkongsian maklumat pelancongan melalui pelbagai platform.
Seminar Pelancongan Antarabangsa akan dijalankan pada setiap tahun bermula pada Mac 2011 ini dengan sasaran memastikan setiap pihak yang terlibat di dalam industri pelancongan memperolehi pengetahuan dan pendedahan terkini mengenai industri dan perkongsian pengalaman tentang kejayaan destinasi-destinasi pelancongan lain.
Hasil daripada perancangan ini juga merupakan asas terhadap fokus inisiatif Bajet Ekonomi 2011 bagi sektor pelancongan baru-baru ini di mana, Kerajaan Negeri telah mensasarkan matlamat untuk meningkatkan sumber manusia berkualiti di dalam industri pelancongan dengan pelaksanaan pelbagai program dan acara-acara berkaitan fokus ini.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Saya yakin bahawa program yang telah diadakan pada semalam dan hari ini telah mencapai objektifnya di dalam merancang dan melaksanakan pelan pembangunan sumber manusia berkualiti di dalam industri pelancongan terutamanya di dalam Wilayah Iskandar ini.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami akan terus dan sentiasa bersama menyokong agenda ini dan membantu daripada pelbagai segi berkaitan dengan bantuan pihak IRDA serta tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Terima kasih saya ucapkan di atas sokongan dan kerjasama semua pemain-pemain industri, industri pelancongan negeri Johor ini terus bertahan dan bakal menyaksikan satu lagi lonjakan baru di dalam sektor ekonomi.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Dalam ruang yang terhad ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kami sekali lagi kepada jawatankuasa penganjur iaitu Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Selatan (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Kementerian Pelancongan Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta pelbagai pihak lain seperti persatuan-persatuan pelancongan, ahli akademik, media massa dan masyakat setempat juga banyak membantu di dalam memberikan idea serta melaksanakan pelbagai strategi dan taktik terbaik bagi meningkatkan lagi pencapaian industri pelancongan.
Cabaran industri pelancongan Negeri Johor akan sentiasa diharungi bersama dan saya pasti berkat usaha semua pihak dan keizinan Allah maka semua yang dirancang akan mencapai sasarannya.
Saya doakan Pelancongan Johor akan terus maju dan mengharumkan lagi nama Negeri Johor sebagai destinasi pelancongan terhebat bukan sahaja di mata pelancong tempatan tetapi lebih lagi di peringkat antarabangsa sebagai Destinasi Permata Asia.
Dengan sukacitanya saya menutup program Seminar Pembangunan Kemahiran Modal Insan Sektor Hospitaliti dan Pelancongan di Iskandar Malaysia.
Sekian sahaja. Terima kasih. Wassalam.
Leave a comment